Sukacita dimaklumkan bahawa bersempena dengan puasa awal Muharram iaitu puasa Tasu’a’ dan Asyura’, pihak pengurusan Al-Masjidil akan mengadakan majlis berbuka puasa di Al-Masjidil. Ahli kariah yang berkesempatan berpuasa adalah dijemput untuk sama-sama memeriahkan majlis, dan bersama mengerjakan amalan sunat ini.
Solat Maghrib akan dilaksanakan selepas majlis dan bacaan yassin dan tahlil akan dijalankan seperti biasa selepas solat fardhu Maghrib.
Antara puasa yang disunatkan adalah pada bulan Muharram, bahkan sangat afdhal. Nabi ﷺ menyatakan :
أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله المحرم
“Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah bulan Allah al-Muharram” (HR Muslim)
Sangat digalakkan untuk berpuasa pada hari ke 10 bulan Muharram. Ini berdasarkan hadith :
صيام يوم عاشوراء إني أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله
“Puasa pada hari Ashura’, aku mengharapkan kepada Allah menghapuskan dosa-dosa tahun sebelumnya” (HR Muslim)
Juga disunatkan untuk berpuasa pada hari sebelum atau selepas 10 Muharram, untuk membezakan kita dengan Yahudi. Hadith Nabi ﷺ :
صوموا يوم عاشوراء وخالفوا فيه اليهود، صوموا قبله يوما أو بعده يوما
“Berpuasalah pada hari Asyura’ dan berbezalah dengan golongan Yahudi, berpuasalah pada sehari sebelumnya atau sehari selepasnya” (HR Ahmad)



